Selamat Jalan, Cinta.


Sesekali jika kita berfikir jauh sedikit kehadapan mengenai betapa sakit dan sukarnya keadaan kehilangan orang yang tersayang, pasti menakutkan. Baru sahaja membayangkan, hati sudah sakit, nafas memberat, dunia terasa berbeza. Tiada apa yang mampu menjelaskan betapa rasa sakit ditinggalkan dan kehilangan.

Pada 04 Januari 2020, peristiwa yang menolak jatuh diri ini, menampar muka sehingga tersungkur menyembah bumi, memijak henyak perasaan yang muncul bertubi-tubi. Hari di mana diri ini akhirnya merasai rasa kehilangan buat pertama kali sepanjang 20 tahun kehidupan, melibatkan individu penting yang tidak sesekali menjangka dia akan pergi secepat ini. Tidak mudah menerima kenyataan. Tapi siapa aku yang mahu menidakkan kehendak Tuhan?

NENEK
Akhirnya pergi menghadap Ilahi selepas hanya seminggu bertarung nyawa. Kami menantikan celiknya mata, mula nya bersuara, tidak sabar menyediakan apa yang diminta. Apa kan daya, semua nya berakhir.  Perginya dia, membuatkan semua akhirnya tersedar akan tanda-tanda yang telah ditunjukkan sebelum pemergian. Ya, siapa yang akan menjangka perisitwa ini. TIADA. Tiada siapa sanggup memikirkan perkara seperti ini terjadi.

Aku memulakan kehidupan yang dianugerahkan Tuhan bersama insan ini. Aku lebih memilih dia berbanding kedua ibu bapa ku sendiri ketika itu. Bayangkan betapa akrab nya kami sehingga kini? Rasa susah itu indah apabila bersama. Rungutan yang ada ditukarkan menjadi motivasi. Ada satu saat di mana Allah itu menyusun atur cantik untuk aku menghabiskan masa bersama dua orang insan yang digelar nenek, sebelum insan ini kembali bertemu pencipta. Mudah sungguh kami mendapatkan apa yang dihajati bersama. 

Tidak sangka semua ini kenangan terakhir. Hingga terdetik di hati, jika tiada kerjaya sehebat wanita di luar sana, aku ikhlas merela kan diri berbakti kepada insan-insan ini sepanjang hayat. Diri ini tidak memilih menghabiskan usia muda bersama rakan. Terdidik sejak aku berakal untuk sentiasa beringat bahawa berbakti kepada keluarga lebih besar berkahnya. Tiada apa yang perlu dikesalkan apabila memilih orang tua berbanding mempercayai propaganda, golongan muda perlu menghabiskan masa berseronok sebelum berkeluarga.

Apakan daya, insan yang sering dicari dan paling dipercayai sudah bertemu Ilahi. Alhamdulilah masih berpeluang bersama selama 20 Tahun yang indah ini. Kenangan menjaga dan berbakti segala yang mampu, akan tersemat sebagai memori. Bukan pujian solehah yang di damba kan, cukuplah Allah mengetahui betapa aku meletakkan insan ini sebagai individu terpenting di hati. 

Ya Allah, jaga lah dia. Ampuni dosa dia. Bantulah dia. Ringankan seksaannya. Tempatkan lah dia bersama insan-insan yang Kau kasihi. 

Tiada lagi insan yang akan memanggil melalui telefon setiap hari, sungguh hati ini kesal mengingati aku sengaja menolak menjawab panggilan rindu insan ini. Kini, aku yang menahan jiwa menanggung rindu yang tidak akan terbalas selama nya. Rumah yang sering aku kunjung hanya untuk menziarahi, kini sepi. Rumah barunya yang aku akan pergi setiap kali masa tidak ter isi. Walaupun pada asalnya susah menerima hakikatnya perit yang ditakdir kan, bingkas perasaan semangat baru muncul mengingatkan aku masih mempunyai Ibu Bapa yang perlu dicurahkan bakti. Kekurangan lepas akan aku cuba gandakan dengan kelebihan.

SEMOGA DIRI INI KUAT MEMASTIKAN INSAN YANG MASIH BERSAMA HARI INI, DAPAT MERASAI BAHAGIA TANPA RASA KESAL APABILA TIBA MASA MEREKA UNTUK PERGI.

Comments

Popular Posts